13/07/2026
Rupa-rupanya tenang itu bukanlah sebab suasana..
Antara perkara yang paling sukar dijelaskan tentang Tanah Haram ialah… suasananya.
Logiknya, tempat itu sangat sesak. Orang berjalan tanpa henti. Bunyi mesin, kenderaan, suara manusia dari pelbagai bahasa.
Tetapi peliknya…
Ramai yang mengatakan, “Entah kenapa, hati saya rasa tenang je sepanjang di Mekah dan Madinah.”
Oh, rupa-rupanya ketenangan bukanlah bergantung pada suasana yang sunyi. Ketenangan datang apabila hati benar-benar dekat dengan Allah.
Sakinah ialah ketenangan, keteguhan dan keyakinan yang Allah campakkan ke dalam hati orang yang kembali kepada-Nya. Ia adalah anugerah daripada Allah, bukan hasil keadaan di sekeliling.
Mungkin sebab itu, walaupun berjuta-juta manusia berkumpul di sekeliling Kaabah, hati tetap terasa damai.
Kerana di sana, semua sedang menuju kepada tujuan dan matlamat yang sama, kembali kepada Allah.
Nak tak nak, kena didik hati supaya sentiasa kembali kepada Allah sebelum kembali kepada tugasan yang menunggu.
Kerana akhirnya, ketenangan bukanlah apabila semua masalah hilang.
Ketenangan ialah apabila Allah memenuhi hati kita, sehingga masalah tidak lagi menguasai hati.
Semoga kita bukan sekadar menjadi tetamu di Tanah Haram, tetapi membawa pulang sakinah yang Allah hadiahkan ke dalam setiap sudut kehidupan.
Wallahu’alam.