17/07/2025
Menjadi tetamu Allah ke tanah suci impian semua orang. Tetapi ada yang Allah izin hadir, tetapi ada yang tidak. Ada yang harta ada, tetapi kesihatan tidak mengizinkan. Ada yang sihat tetapi bekalan tidak mengizinkan.
Siapa yang sampai, maka syukurlah dan doakan juga buat keluarga, taulan dan orang kesayangan dapat hadir sama. Manfaatkan berdoa bersungguh-sungguh di tempat mustajab doa.
Setiap masalah dan ujian dalam hidup, datangnya dari Allah untuk menguji iman kita. Setiap dari kita pasti ada ujiannya tersendiri. Mohonlah pada Allah sungguh-sungguh.
Kuncinya juga ialah yakin dengan pertolongan Allah SWT. Yakin Dia Maha Mendengar segala rintih hati dan rayu kita. Yakin Dia tidak akan mensia-siakan hambaNya. Dia Maha Pemurah, Maha Mengasihani.
Sangka baik selalu dengan aturan Allah SWT. Dalam pahit & manis, pasti ada hikmah dan ujian.
Mulakan doa dengan pujian dan selawat. Manfaatkan tempat mustajab doa yang sangat banyak di kota suci tersebut.
Antaranya dalam pusingan tawaf, di pancuran emas, hajarul aswad, multazam, maqam Ibrahim selepas solat sunat tawaf, di rukun Yamani, di puncak Bukit Safa dan Marwah, sepanjang Saie dsb.
Sebenarnya banyak kisah keajaiban Allah SWT mengabulkan doa mereka di tanah berkah ini sama ada ia disimpan untuk diri sendiri sahaja atau pernah dikongsi. Semoga kita juga termasuk dalam mereka itu. Ameen.