08/08/2026
“Kenapa orang berpendapatan rendah s**a sangat rakam kapal terbang landing?”
Soalan itu nampak macam biasa.
Tapi sebenarnya, ia membuka satu persoalan yang lebih besar kenapa kita rasa berhak menentukan apa yang patut dianggap sebagai sesuatu yang menggembirakan bagi orang lain?
Bagi sesetengah orang, melihat kapal terbang mendarat mungkin perkara biasa.
Tapi bagi seseorang yang jarang berpeluang naik kapal terbang, mungkin detik itu adalah sebahagian daripada pengalaman yang mereka tunggu-tunggu.
Telefon dikeluarkan. Kamera dibuka.
Landing dirakam.
Bukan sebab mereka tak pernah tengok kapal terbang.
Tapi sebab momen itu bermakna kepada mereka.
Kita kadang-kadang terlalu sibuk menilai cara orang lain menikmati hidup, sampai terlupa bahawa setiap orang mempunyai ukuran kebahagiaan yang berbeza.
Ada orang bahagia bila dapat naik business class.
Ada yang bahagia bila dapat bawa keluarga bercuti.
Ada yang bahagia bila pertama kali anaknya naik kapal terbang.
Dan ada yang cukup bahagia hanya dengan melihat pesawat yang dinaikinya selamat mendarat.
Kita mungkin nampak benda yang sama.
Tapi kita tidak semestinya merasai perkara yang sama.
Jadi kalau seseorang mahu rakam landing flight, biarkan.
Mungkin bagi kita ia cuma 30 saat.
Tapi bagi dia, mungkin itu adalah kenangan yang akan ditonton semula bertahun-tahun kemudian.
Kadang-kala dalam hidup ini, kita lebih banyak menilai daripada menikmati.
Belajarlah untuk tidak mengukur kebahagiaan orang lain berdasarkan standard hidup kita sendiri.
Sebab mereka bukan sedang cuba menunjukkan mereka kaya.
Mereka cuma sedang menikmati sesuatu yang bermakna bagi mereka.