17/08/2025
Share2x gaiss
Pan Borneo Bersih, Warisan Kita Bersama
Lebuhraya Pan Borneo akan menjadi penghubung utama masyarakat dan tidak lama lagi akan menjadi tulang belakang kepada aktiviti ekonomi di seluruh Sarawak. Tetapi imejnya semakin dicemari oleh pemandangan yang kurang menyenangkan sakit mata memandangnya. Timbunan sampah berselerakan di sepanjang jajaran Pan Borneo.
Bagi pemandu dari Telok Melano ke Sibu atau lebih jauh dari itu hingga ke Miri, pemandangan botol plastik, pembungkus makanan dan sampah lain bertaburan di bahu lebuhraya adalah terlalu biasa.
Apa yang dibayangkan sebagai lebuhraya moden bertaraf dunia yang meningkatkan kesalinghubungan dan pertumbuhan ekonomi kini dibayangi oleh masalah lama: sampah sarap!. Seolah-olah lebuhraya ini menjadi tong sampah yang besar dah terbuka.
Daripada laluan dan persimpangan yang sibuk dan pemandangan lanskap yang indah, sampah sarap kini merata menghiasi bahu jalan, menyebabkan pengguna jalan raya dan masyarakat setempat kecewa. Apa lagi pelancong?
Merentasi ratusan kilometer Lebuhraya Pan Borneo, ‘kawasan panas’ sampah telah muncul di beberapa tempat-tempat tumpuan seperti berhampiran p-turn, persimpangan dan jejantas.
Selain ianya memburukkan pemandangan, sampah boleh menyekat saliran, menarik serangga perosak dan haiwan liar, menjejaskan tarikan pelancongan Sarawak dan memberikan bau yang tidak diingini.
Sempena Kempen Kebersihan Pan Borneo selama sebulan anjuran Kementerian Kerja Raya, JKR Sarawak, Syarikat PBH Asset Management Sdn Bhd dengan tema “Jum Jaga Pan Borneo Bait-Bait”, diharapkan pengguna lebuhraya dan penduduk di sepanjang lebuhraya akan tersentuh hati untuk sama-sama menjaga warisan kita ini supaya ianya sentiasa bersih, indah, selamat dan selesa.
Anggaplah Pan Borneo ini sebagai legasi dan harta warisan yang akan kita wariskan kepada generasi akan datang sesuai dengan pesanan Tan Sri Datuk Patinggi Adenan Satem, Ketua Menteri Sarawak Kelima dengan pesanan keramatnya
“JAGA SARAWAK BAIT-BAIT!”