19/05/2024
Lintasan rata kereta api atau level crossing yang terletak di pekan Bangi Lama (Gambar 1980an - kini).
Pasukan penyelidik Railway Cartographic Research Project (RailCREP), sebuah projek kajian di bawah Persatuan Kartografi Melaka iaitu saudara Shahrul Azzim Abd Aziz dan Dr. Mohamad Rohaizat Abdul Wahab berpeluang menjejaki sebuah lokasi yang menempatkan warisan sejarah kereta api lama di Selangor yang semakin luput ditelan masa. Lokasi yang dimaksudkan ialah lintasan rata kereta api atau level crossing yang terletak di pekan Bangi Lama, Selangor Darul Ehsan.
Terdapat beberapa naskah kartografi lama yang memaparkan lokasi lintasan rata ini antaranya ialah peta yang diterbitkan pada tahun 1945. Dalam usaha mengenal pasti lokasi tersebut, pasukan penyelidik membuat perbandingan di antara peta yang berusia hampir 80 tahun dengan imej satelit Google Earth yang terkini dan sehelai gambar lama lokasi bersejarah tersebut yang dirujuk daripada halaman Facebook Kelab Peminat Sejarah & Gambar Lama II.
Lintasan tersebut pada waktu kini telah tidak wujud lagi kerana telah digantikan dengan sebuah jambatan yang terletak sekitar kurang 100 meter daripada lokasi lintasan lama tersebut. Terdapat beberapa kesan peninggalan yang masih ada di lokasi ini antaranya beberapa serpihan "Sleepers" lama landasan kereta api yang diperbuat daripada kayu dan tapak jajaran bekas laluan landasan lama.
Temu ramah bersama salah seorang penduduk di kawasan berhampiran lintasan rata (Level crossing) lama tersebut yang dikenali sebagai Encik Lim menceritakan tentang suasana di kawasan tersebut ketika lintasan rata tersebut masih aktif digunakan untuk laluan kereta api yang melalui pekan Bangi Lama ini pada suatu ketika dahulu. Berdasarkan sejarah, stesen kereta api lama Bangi yang terletak tidak jauh dari pekan Bangi Lama ini telah dibina sekitar awal tahun 1900an (Tahun 1902) dan kini telah digantikan dengan stesen yang baru seperti yang kelihatan pada hari ini.
*Penulisan oleh Shahrul Azzim Abd Aziz dan Dr. Mohamad Rohaizat Abdul Wahab.
Sumber peta:
- Australia National University.
Sumber gambar dahulu:
- Halaman Facebook Kelab Peminat Sejarah & Gambar Lama II.