23/10/2026
MPM tangkap 772 anjing liar dalam tempoh sembilan bulan
Oleh : Zaki Salleh
MANJUNG – Sebanyak 772 ekor anjing ditangkap menerusi 281 operasi penangkapan anjing liar yang dilaksanakan oleh Majlis Perbandaran Manjung (MPM) sepanjang Januari hingga September lalu.
Yang Dipertua MPM, Muhammad Faizal Shah Safian Suri berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilaksanakan berdasarkan Undang-Undang Kecil Pelesenan Haiwan Ternakan dan Haiwan Merayau (MPM) 2012 serta Undang-Undang Kecil Pelesenan Anjing (MDM) 1993.
Menurutnya, operasi berkenaan merangkumi lima langkah utama bermula dengan rondaan, pemantauan dan tindakan susulan terhadap aduan orang awam.
“Ia diikuti tindakan penangkapan dan penyitaan, penyimpanan haiwan yang disita serta pengurusan haiwan yang dituntut atau tidak dituntut.
“Langkah seterusnya melibatkan pelupusan mengikut kaedah bersesuaian, termasuk penyerahan anjing kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam perkembangan berkaitan, MPM pada 15 Oktober lalu menyerahkan 13 ekor anjing kepada NGO, Homeless Paws of Manjung Stray Dog.
Penyerahan itu merupakan sebahagian daripada usaha kerjasama antara pihak berkuasa tempatan dengan NGO dalam menguruskan haiwan terbiar.
“MPM melalui Unit Haiwan Merayau bertanggungjawab melaksanakan pengurusan dan kawalan anjing terbiar demi menjaga kebersihan, keselamatan serta kesejahteraan masyarakat.
“Kerjasama antara MPM dengan NGO diharap dapat membantu memastikan pengurusan anjing terbiar dilaksanakan secara lebih teratur dan bertanggungjawab,” ujarnya.
Usaha itu juga penting bagi mengimbangi keperluan keselamatan serta keselesaan penduduk dengan aspek kebajikan haiwan.