12/11/2023
INFRA MENGADAKAN LAWATAN KE BUKIT BESI SEMPENA SARINGAN AWAL ILHAM DESA BAGI ZON TIMUR 2023 UNTUK KKBBDB
INFRA melalui Bahagian Pengurusan Desa Dan Pemerkasaan Komuniti telah mengadakan lawatan saringan awal Ilham Desa Zon Timur Tahun 2023 pada 10 November 2023 di Bandar Bukit Besi.
Lawatan ini bertujuan untuk membuat pemantauan dan pengesahan projek pelancongan serta menilai ketepatan syarat kelayakan yang telah diusahakan beberapa tahun lalu oleh Koperasi Komuniti Bukit Besi Dungun Bhd (KKBBDB).
Seramai 5 orang panel penilai dari Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) diketuai oleh Encik Muhammad Amin Wahab, Penolong Pegawai INFRA telah menyertai lawatan saringan awal ini.
Kehadiran rombongan ini telah disambut oleh Pengerusi, Ahli Lembaga Pengarah dan ahli-ahli Koperasi Komuniti Bukit Besi Dungun Berhad (KKBBDB). Hadir sama beberapa orang pegawai dari Bahagian Pembangunan Masyarakat dan Sosial serta Bahagian Pelancongan KETENGAH.
KKBBDB merupakan pertubuhan koperasi komuniti yang berperanan untuk membantu merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Bandar Bukit Besi melalui pemerkasaan masyarakat dalam aktiviti pelancongan setempat atau Community Based Tourism (CBT). Sempena saringan awal Ilham Desa ini, pihak KKBBDB telah membawa para ahli panel melawat lokasi-lokasi menarik di sekitar Bandar Bukit Besi antaranya Tasik Puteri, Muzium Bukit Besi dan Bukit Besi Heritage Trail.
Dengan pencalonan Anugerah Ilham Desa Zon Timur ini, sudah pasti memberikan keyakinan terhadap KKBBDB untuk terus mempromosikan dengan lebih giat lagi pakej-pakej menarik yang sudah pun dirancang supaya para pengunjung dapat menikmati keindahan lokasi pelancongan dan tempat bersejarah yang terdapat di Bandar Bukit Besi.