18/05/2026
Gunung tertinggi di Perak dan di Banjaran Titiwangsa adalah Gunung Korbu, dengan ketinggian 2183 meter dari aras laut. Ia juga adalah gunung kedua tertinggi di semenanjung, hanya kurang 4 meter saja dari gunung tertinggi di semenanjung, iaitu Gunung Tahan yang berada di Banjaran Tahan di Pahang yang berketinggian 2187 meter dari aras laut.
Beza dengan Gunung Tahan, Gunung Korbu lebih mudah dilihat di Perak kerana kedudukannya yang berada di pinggir Ipoh (arah timur), terutamanya ketika udara kering atau bersih (pudar dan kelihatan jauh atau tidak kelihatan ketika kelembapan udara tinggi). Ia menjadi hiasan landskap dan latar belakang bagi daerah Kinta, menjamu mata buat penggemar pemandangan alam semulajadi serta pemerhati gunung.
Gambar ini saya rakamkan dari sebuah pusat komersil di Ipoh, zoom sedikit ke arahnya, kerana udara yang kering amat membantu untuk penampakannya yang jelas dan lebih dekat (jarak pandangan sebenar).
Selain penduduk Ipoh, kalau anda berulang alik di antara selatan ke utara semenanjung dan merentasi Lebuhraya PLUS, ada peluang tinggi untuk melihatnya dengan amat jelas jika cuaca dalam keadaan baik dan udara lebih kering, yang pasti memukau pandangan. Selain kawasan berhampiran seperti Batu Gajah dan sekitarnya, puncak Gunung Korbu juga boleh dilihat dari beberapa kawasan rendah di Kuala Kangsar walaupun terhalang oleh Banjaran Kledang Saiong, oleh kerana Gunung Korbu jauh lebih tinggi dari kebanyakan puncak di Banjaran Kledang Saiong.
Bagi pendaki, Gunung Korbu terkenal sebagai antara gunung paling mencabar di negara ini, manakala bagi ahli geologi, ia merupakan monumen semulajadi yang menyimpan sejarah Bumi berusia ratusan juta tahun.
Asas Gunung Korbu terbentuk terutamanya daripada granit, iaitu batuan igneus yang berasal daripada magma yang membeku jauh di bawah permukaan bumi. Batuan granit ini dianggarkan berusia sekitar 200 hingga 230 juta tahun, terbentuk pada penghujung zaman Trias ketika proses tektonik aktif membina rangka asas semenanjung. Pada ketika itu, granit tersebut masih tertanam jauh di dalam kerak bumi dan belum lagi kelihatan sebagai gunung seperti pada hari ini.
Selama berjuta-juta tahun, lapisan batuan yang menutupi granit ini mengalami hakisan akibat hujan, aliran sungai, perubahan suhu dan pergerakan kerak bumi. Proses yang sangat perlahan ini akhirnya menyingkap batuan keras yang kini membentuk puncak Gunung Korbu. Kawasan Banjaran Titiwangsa dipercayai telah menjadi daratan sejak lebih 100 juta tahun lalu, manakala rupa bentuk gunung yang hampir menyerupai landskap moden ini berkembang secara beransur-ansur sepanjang puluhan juta tahun terakhir.
Dari sudut ekologi, Gunung Korbu merupakan sebahagian daripada hutan hujan tropika tanah tinggi yang menjadi habitat kepada pelbagai spesies tumbuhan dan haiwan, termasuk banyak organisma yang hanya wujud atau endemik di kawasan pergunungan Semenanjung Malaysia. Hutan montane di sini berfungsi sebagai kawasan tadahan air penting yang menyumbang kepada sistem sungai utama di Perak, khususnya dalam lembangan Sungai Perak.
Secara keseluruhannya, Gunung Korbu bukan sekadar destinasi pendakian, tetapi sebuah struktur geologi purba yang merekodkan sejarah Bumi sejak lebih 200 juta tahun dahulu. Walaupun bentuk gunung yang kita lihat hari ini masih terus berubah melalui proses hakisan, Gunung Korbu kekal sebagai salah satu mercu alam semulajadi yang agung dan antara yang tertua di semenanjung Malaysia.
Siapa yang dah berjaya tawan puncak Gunung Korbu? Mari kongsikan di komen.