12/02/2026
SIARAN MEDIA
UNTUK SIARAN SEGERA
12 FEBRUARI 2026
TOURISM MALAYSIA GALAK INDUSTRI
PELANCONGAN LAHAD DATU MELALUI SESI LIBAT
URUS BERSAMA INDUSTRI
LAHAD DATU — Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melalui agensinya,
Tourism Malaysia, hari ini menganjurkan sesi taklimat mengenai bantuan geran
pelancongan bersama penggiat industri dan pemegang taruh sektor pelancongan di
Lahad Datu.
Program ini bertujuan memberikan penerangan menyeluruh mengenai kempen Melawat
Malaysia 2026 (VM2026) serta pelan strategik yang digariskan. Antara yang turut
dikongsikan adalah pelbagai insentif yang ditawarkan termasuk Geran Galakan
Melancong Malaysia (GAMELAN), Geran Sokongan Sektor Pelancongan (GSSP) dan Geran
Sokongan Sektor Kebudayaan (GSSK) yang disampaikan oleh wakil MOTAC.
Sesi taklimat tersebut disertai lebih 40 peserta, merangkumi wakil industri, rakan
strategik dan pihak berkepentingan utama. Ia merupakan sebahagian daripada inisiatif
VM2026 untuk memacu pembangunan sektor pelancongan negara.
Menurut Cik Haryanty Abu Bakar, Pengarah Tourism Malaysia Sabah, “Visit Malaysia 2026
bukan sekadar kempen pelancongan, sebaliknya merupakan gerakan nasional yang
mencerminkan semangat perpaduan, keharmonian, kemesraan serta kepelbagaian kaum dan budaya di negara kita.”
Beliau menambah, “Sesi taklimat ini diharap memberi inspirasi kepada penggiat dan
pemegang taruh industri pelancongan di Lahad Datu untuk bergerak lebih proaktif dan
kreatif dalam aktiviti promosi, sekali gus menarik lebih ramai pelawat ke daerah tersebut”
Melalui kempen VM2026, Malaysia terus menekankan usaha memperkukuh sektor
pelancongan sebagai salah satu pemacu utama pertumbuhan ekonomi negara.
Momentum positif ini disokong oleh prestasi ketibaan pelawat antarabangsa yang
memberangsangkan pada tahun 2025 dengan jumlah 42.1 juta pelawat.
Bertemakan lagu Surreal Experiences, VM2026 akan menampilkan rangkaian program
berskala nasional sepanjang tahun, termasuk festival, acara kebudayaan, pameran, dan
sambutan komuniti, semuanya dirangka untuk menarik pelawat dari seluruh dunia.
Dengan memanfaatkan potensi Malaysia sebagai destinasi pelancongan unggul di rantau
ini, VM2026 dijangka menjadi pemangkin kepada peningkatan ketibaan pelawat,membuka lebih banyak peluang pekerjaan dan memperkukuh imej negara di pentas
antarabangsa. Selain merancakkan aktiviti ekonomi, kempen ini juga memberikan manfaat kepada komuniti setempat sambil menyokong sektor berkaitan seperti pengangkutan,
peruncitan, kraf tangan dan industri kecil dan sederhana (IKS).
-TAMATTourism Malaysia
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia atau Tourism Malaysia ialah sebuah agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Malaysia. Tourism Malaysia giat memfokuskan
kepada tugas khusus untuk mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan pilihan.
Sejak penubuhannya, Tourism Malaysia telah muncul sebagai pemain utama dalam industri
pelancongan antarabangsa.
Kempen Melawat Malaysia 2026 (VM2026) menekankan komitmen Malaysia terhadap
pembangunan pelancongan mampan, selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDGs). Kempen ini bertujuan untuk mengetengahkan kepelbagaian tarikan semula jadi, kekayaan warisan budaya, serta tawaran pelancongan negara
yang dinamik, di samping memacu pertumbuhan inklusif dan nilai jangka panjang buat komuniti
setempat serta pemain industri.
Untuk maklumat lanjut, layari laman web Tourism Malaysia di www.tourism.gov.my
Khairul Amir Anuar
Timbalan Pengarah
Tourism Malaysia Sabah.