07/05/2024
𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵-𝗞𝗶𝘀𝗮𝗵 𝗦𝗮𝗵𝗮𝗯𝗮𝘁 𝗱𝗮𝗻 𝗨𝗹𝗮𝗺𝗮’ 𝗠𝗲𝗺𝗶𝗻𝘂𝗺 𝗔𝗶𝗿 𝗭𝗮𝗺𝘇𝗮𝗺
Amalan meminum air zamzam ini telah diamalkan oleh para sahabat dan juga salaf al-Soleh sejak dahulu lagi.
Diriwayatkan oleh imam al-Hakim bahawa Ibn Abbas RA apabila meminum air zamzam, beliau akan berdoa dengan berkata:
اَللَّهُمَّ أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعَا، وَرِزْقًا وَاسِعًا، وَشِفَاءً مِنْ كُلِّ دَاءٍ
Maksudnya: “Ya Allah, aku memohon kepadamu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang luas dan kesembuhan dari segala penyakit.” [𝗟𝗶𝗵𝗮𝘁 𝗮𝗹-𝗠𝘂𝘀𝘁𝗮𝗱𝗿𝗮𝗸 (𝟭𝟳𝟯𝟵), 𝟭/𝟲𝟰𝟲]
Abu Zar al-Ghifari berkata: “Selama 30 hari aku tidak mempunyai makanan kecuali air Zamzam. Aku menjadi gemuk dan lemak perutku menjadi hilang. Aku tidak mendapati dalam hatiku kelemahan lapar.” [𝗟𝗶𝗵𝗮𝘁 𝗦𝗮𝗵𝗶𝗵 𝗠𝘂𝘀𝗹𝗶𝗺, 𝟰/𝟭𝟵𝟭𝟵]
Daripada Hammam, daripada Abu Jamrah al-Dhuba’i, katanya:
كُنْتُ أُجَالِسُ ابْنَ عَبَّاسٍ بِمَكَّةَ فَأَخَذَتْنِي الحُمَّى، فَقَالَ: أَبْرِدْهَا عَنْكَ بِمَاءِ زَمْزَمَ، فَإِنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، قَالَ: الحُمَّى مِنْ فَيْحِ جَهَنَّمَ فَأَبْرِدُوهَا بِالْمَاءِ أَوْ قَالَ: بِمَاءِ زَمْزَمَ – شَكَّ هَمَّامٌ
Maksudnya: Aku pernah menemani Ibn Abbas di Makkah. Setelah itu, aku mengalami demam panas. Lalu Ibn ‘Abbas berkata: “Sejukkanlah ia dengan air zamzam, kerana sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Demam itu adalah daripada hembusan neraka Jahannam. Oleh itu, sejukkanlah ia dengan air.” Atau katanya: “Dengan air zamzam.” (Hammam telah syak dalam hal ini). [𝗥𝗶𝘄𝗮𝘆𝗮𝘁 𝗮𝗹-𝗕𝘂𝗸𝗵𝗮𝗿𝗶 (𝟯𝟮𝟲𝟭)]
Selain itu, al-Hafiz Ibn Hajar di dalam Juz fi hi al-Jawab an hal al-Hadith al-Masyhur “مَاءُ زَمْزَمَ، لِمَا شُرِبَ لَهُ” menceritakan beberapa kisah ulama’ yang meminum air zamzam, antaranya:
𝗜𝗺𝗮𝗺 𝗮𝗹-𝗛𝗮𝗸𝗶𝗺
“Telah meminumnya (air zamzam) al-Hakim Abu Abdillah agar dikurniakan oleh Allah SWT penulisan yang baik dan juga perkara-perkara yang lain. Maka dengan itu, beliau telah menjadi antara ulama’ yang telah menghasilkan penulisan atau karya-karya yang baik pada zamannya.”
𝗜𝗺𝗮𝗺 𝗮𝗹-𝗜𝗿𝗮𝗾𝗶
“Beliau telah meminumnya untuk sesuatu maka Allah SWT memakbulkan apa yang dihajatinya.”
𝗜𝗺𝗮𝗺 𝗮𝗹-𝗛𝗮𝗳𝗶𝘇 𝗜𝗯𝗻 𝗛𝗮𝗷𝗮𝗿 (𝗽𝗲𝗻𝗴𝗮𝗿𝗮𝗻𝗴 𝘀𝗲𝗻𝗱𝗶𝗿𝗶)
“Aku telah meminumnya pada satu kali dan aku memohon kepada Allah SWT agar dikurniakan sebagaimana imam al-Zahabi dalam menghafaz hadith-hadith Nabi SAW ketika permulaanku dalam mempelajari atau mencari hadith. Kemudian aku menunaikan haji lebih kurang 20 tahun selepas daripada itu, aku merasakan di dalam diriku bahawa kelebihan yang Allah kurniakan kepadaku melebihi apa yang ada pada imam al-Zahabi. Dengan itu, aku memohon kepada Allah SWT agar memberiku martabat atau kedudukan yang lebih tinggi daripada martabat sebelum ini dan aku mengharapkan Allah SWT memakbulkan permintaanku ini.”
𝗜𝗺𝗮𝗺 𝗜𝗯𝗻 𝗤𝗮𝘆𝘆𝗶𝗺 𝗮𝗹-𝗝𝗮𝘂𝘇𝗶𝘆𝘆𝗮𝗵
Katanya: “Sesungguhnya aku dan selain daripadaku telah mengalami (ada pengalaman) perkara yang ajaib ketika berubat dengan menggunakan air zamzam. Aku telah sembuh daripada beberapa penyakit yang menimpaku dengan izin Allah. Selain itu, aku juga telah menyaks*kan seseorang yang telah menjadikan air zamzam sebagai makanannya selama beberapa hari, sekitar setengah bulan atau lebih dan dia tidak berasa lapar. Dalam masa yang sama, dia melaksanakan tawaf sebagaimana manusia yang lain. Dia telah memberitahuku bahawa kadang-kadang dia seperti itu selama empat puluh hari dan dia juga mempunyai kekuatan untuk bersama isterinya (berjimak), berpuasa dan melaksanakan tawaf berkali-kali.” [𝗟𝗶𝗵𝗮𝘁 𝗭𝗮𝗱 𝗮𝗹-𝗠𝗮‘𝗮𝗱 𝗳𝗶 𝗛𝗮𝗱𝘆𝗶 𝗞𝗵𝗮𝗶𝗿 𝗮𝗹-‘𝗜𝗯𝗮𝗱, 𝟰/𝟯𝟲𝟭]
Beliau turut berkata: “Ketika berada di Mekah, aku mengalami sakit dan tidak ada tabib dan ubat (yang dapat menyembuhkannya). Aku pun mengubatinya dengan meminum air Zamzam dan membacakan atasnya berulangkali (dengan al-Fatihah), kemudian aku meminumnya. Aku memperoleh kesembuhan yang sempurna. Aku pun menjadikannya untuk bersandar ketika mengalami rasa sakit. Aku benar-benar mengambil manfaat daripadanya. [𝗟𝗶𝗵𝗮𝘁 𝗭𝗮𝗱 𝗮𝗹-𝗠𝗮’𝗮𝗱, 𝟰/𝟭𝟲𝟮]
𝐊𝐥𝐢𝐤 𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐥𝐢𝐧𝐤 𝐮𝐧𝐭𝐮𝐤 𝐩𝐞𝐧𝐠𝐮𝐫𝐮𝐬𝐚𝐧 𝐩𝐞𝐧𝐠𝐡𝐚𝐧𝐭𝐚𝐫𝐚𝐧 𝐤𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐚𝐧𝐝𝐚:
🛒 https://forms.gle/9ZbfB3CaAEgavN8K8