25/09/2026
Antara golongan yang berjaya di dunia dan akhirat ialah mereka yang menunaikan zakat — sama ada zakat fitrah di bulan Ramadan, zakat pendapatan, zakat simpanan, zakat perniagaan dan sebagainya.
Maksud firman Allah SWT dalam Surah al-Mu’minun, yang menceritakan tentang sifat orang-orang yang berjaya:
“Dan orang-orang yang menunaikan zakat.”
Antara pengajaran daripada ayat ini ialah, kita hendaklah berusaha mencari rezeki supaya kita mampu menunaikan zakat.
Sebab itu, jangan kita melihat pekerjaan dan perniagaan hanya sebagai cara untuk mendapatkan dunia. Niatkan kita bekerja dan berniaga kerana Allah, agar dengan rezeki yang diperoleh, kita dapat menunaikan zakat, bersedekah dan membantu orang lain.
Jika kita tidak bekerja atau berniaga, bagaimana kita hendak memperoleh pendapatan? Tanpa pendapatan, mungkin keperluan hidup sendiri pun sukar untuk dipenuhi, apatah lagi untuk menunaikan zakat dan membantu orang lain.
Maka, marilah kita betulkan niat.
Kita bekerja bukan semata-mata untuk mencari kesenangan dunia, tetapi untuk mendapatkan rezeki yang halal, menunaikan kewajipan kepada Allah, dan menjadi sebab orang lain turut mendapat manfaat daripada rezeki yang Allah kurniakan kepada kita.