26/08/2026
PENGLIBATAN AJK MASJID AS-SOLIHIN DALAM PROGRAM MULTAQA PEGAWAI DAN JAWATANKUASA MASJID DAN SURAU NEGERI PERLIS 2026
Kangar, 2026 – AJK Masjid As-Solihin telah menyertai Program Multaqa Pegawai dan Jawatankuasa Masjid dan Surau Negeri Perlis 2026 yang menghimpunkan para pegawai serta ahli jawatankuasa masjid dan surau dari seluruh negeri Perlis di dewan 2020, Kangar.
Program anjuran Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (JAIPs) itu telah dirasmikan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra, yang turut menyampaikan titah berkaitan kepentingan memperkukuh peranan institusi masjid dalam pembangunan ummah.
Program ini bertujuan memperkukuh sistem tadbir urus dan pengurusan masjid serta surau, di samping menjadi platform strategik untuk memperkasa peranan masjid sebagai pusat ibadah, penyatuan ummah, keilmuan dan pembangunan sosioekonomi masyarakat.
Penglibatan AJK Masjid As-Solihin dalam program ini diharapkan dapat memberi manfaat dalam mempertingkatkan lagi pengurusan, tadbir urus serta aktiviti kemasyarakatan dan keagamaan di Masjid As-Solihin.