15/08/2026
MUTAWIF BUKAN SEKADAR BAWA JEMAAH ZIARAH, TETAPI KHIDMAT KEPADA ALLAH
Kursus Kerjaya Mutawwif dan Mutawwifah anjuran As-Safa Travels and Tours bukan sekadar membuka ruang kepada peserta mengenali kerjaya dalam industri haji dan umrah, malah memberi pendedahan mengenai amanah besar yang perlu dipikul seseorang mutawwif ketika membimbing jemaah di Tanah Suci.
Muhammad Nizamuddin Mohd Zulkifli, 25, yang merupakan pensyarah Bahasa Arab dan al-Quran dalam bidang Pengurusan Haji dan Umrah berkata, minat terhadap bidang pengurusan mendorong beliau mengikuti kursus berkenaan bagi menambah pengetahuan, khususnya berkaitan aspek praktikal seorang mutawwif.
Menurutnya, ilmu agama boleh dipelajari oleh sesiapa sahaja, namun keadaan sebenar ketika mengurus dan membimbing jemaah memerlukan kemahiran yang lebih luas.
“Semua orang boleh belajar agama, tetapi apabila berada dalam situasi sebenar bersama jemaah, keadaannya berbeza.
“Apabila menjadi mutawwif, tanggungjawab itu menjadi dua kali ganda kerana kita bukan sahaja perlu mempunyai ilmu agama, malah perlu tahu bagaimana mengurus, membimbing dan menjaga jemaah,” katanya ketika ditemui pada Kursus Kerjaya Mutawwif dan Mutawwifah, hari ini.
Beliau berkata, tugas mutawwif tidak sepatutnya dilihat sekadar membawa jemaah melawat atau berziarah ke tempat tertentu di Makkah dan Madinah.
Sebaliknya, tugas tersebut merupakan satu bentuk khidmat kepada Allah dengan membantu tetamu-Nya melaksanakan ibadah dengan sempurna serta menjaga kebajikan mereka sepanjang berada di Tanah Suci.
“Apabila kita masuk dalam bidang mutawwif, kita perlu melihatnya sebagai satu khidmat kepada Allah. Bukan sekadar membawa orang berjalan atau berziarah.
“Kita membantu mereka melaksanakan ibadah dan dalam masa sama menjaga kemaslahatan jemaah,” katanya.
Menurut Nizamuddin, pengurusan haji dan umrah juga mempunyai kaitan dengan tanggungjawab fardu kifayah kerana umat Islam memerlukan individu yang mempunyai ilmu dan kemahiran untuk menjadi pembimbing serta wakil dalam mengurus keperluan jemaah.
Katanya, perkembangan industri haji dan umrah turut menuntut agensi pelancongan mempunyai kefahaman yang baik mengenai ibadah berkenaan dan tidak hanya memberi tumpuan kepada aspek perjalanan atau pakej semata-mata.
“Agensi pelancongan yang mengendalikan haji dan umrah perlu benar-benar memahami keperluan jemaah serta perjalanan ibadah itu sendiri.
“Langkah menyediakan latihan seperti kursus mutawwif ini dapat membantu melahirkan lebih ramai individu yang bersedia dari sudut ilmu dan praktikal,” katanya.
Selain ilmu agama, beliau berkata, seorang mutawwif pada masa kini juga perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang pengurusan, perniagaan, pemasaran dan media.
Kemahiran berkenaan penting kerana kerjaya mutawwif kini berkembang seiring dengan perubahan industri pelancongan Islam serta keperluan jemaah yang semakin pelbagai.
Kursus berkenaan turut memberi peluang kepada peserta memahami kerjaya mutawwif secara lebih dekat melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan situasi sebenar yang mungkin dihadapi ketika mengurus jemaah.
Bagi Nizamuddin, penyertaan dalam kursus itu merupakan sebahagian daripada usaha menambah ilmu supaya dapat memberi khidmat yang lebih baik kepada masyarakat sekiranya diberi peluang menjadi mutawwif pada masa hadapan.