03/07/2026
Pahang Antara Negeri Paling Banyak Beri Bantuan Jika Masuk Universiti
Kerajaan Negeri Pahang terus menunjukkan komitmen berterusan dalam memperkukuh agenda pendidikan negeri melalui pelbagai bentuk bantuan kewangan dan sokongan kebajikan khusus untuk mahasiswa anak Pahang.
Melalui inisiatif Kerajaan Negeri, seramai 20,000 mahasiswa anak Pahang bertuah menerima manfaat Inisiatif Makmur Pahang (IM Pahang) Kluster Siswa, iaitu bantuan kewangan secara one-off berjumlah RM400 dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM9 juta, bagi meringankan beban kewangan mereka.
Inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun 2022 ini bermula dengan pemberian RM200 dan kini ditingkatkan kepada RM400, bertujuan untuk meringankan beban kewangan pelajar, khususnya dalam mendepani cabaran peningkatan kos sara hidup pada masa kini.
Bantuan ini diperkenalkan dengan syarat utama bahawa penerima mestilah merupakan anak Pahang, sama ada dilahirkan di negeri ini atau merupakan pengundi berdaftar di Negeri Pahang, selaras dengan prinsip pengutamaan rakyat negeri sendiri dalam agenda pembangunan pendidikan.
Selain bantuan terus Kerajaan Negeri, Yayasan Pahang (YP) turut memainkan peranan penting sebagai agensi pelaksana utama pendidikan negeri melalui pelbagai program bantuan pendidikan yang menyeluruh, antaranya:
1. Pinjaman Pendidikan – Pembiayaan pengajian di institusi pengajian tinggi yang diiktiraf
2. Biasiswa Sekolah & IPT – Biasiswa Pahang (Sekolah Rendah & Menengah), Biasiswa Kecemerlangan Menteri Besar (BKMB), Skim Pelajar Cemerlang YP, Biasiswa Tahfiz & Biasiswa Anak Yatim
3. Geran Pendidikan IPT – Geran Pra Siswazah (RM700), Geran Pasca Siswazah (RM1,200) yang diberikan secara one-off
4. Bantuan Kebajikan & Pendidikan – Dermasiswa pelajar miskin (sekolah & IPT), Hadiah Pelajar Cemerlang, serta program pembangunan mahasiswa dan komuniti serta intervensi pendidikan
Kesemua inisiatif ini ditawarkan kepada pelajar yang memenuhi kriteria anak Negeri Pahang, iaitu sama ada pemohon atau ibu bapa dilahirkan di Pahang, atau bermastautin di negeri ini dalam tempoh yang ditetapkan serta memenuhi syarat kelayakan yang ditentukan oleh Yayasan Pahang.
Jika ada anak-anak mahasiswa Pahang yang menghadapi kekangan dalam memohon bantuan pendidikan, jangan risau kerana di Pahang, banyak bantuan yang disediakan untuk anak-anak negeri Pahang.