26/11/2025
PROGRAM FAM TRIP BERSAMA AGENSI PELANCONGAN INDONESIA KE BANDAR TAIPING
25 November 2025 (Selasa) - Majlis Perbandaran Taiping telah menerima kunjungan daripada agensi pelancongan Indonesia bersempena dengan Program Fam Trip anjuran Persatuan Usahawan Pelancongan Malaysia (PUPEM) dengan sokongan Tourism Malaysia.
Program FAM Trip ini menghimpunkan 32 agensi pelancongan dari seluruh Indonesia, merangkumi pemilik syarikat, pengarah urusan, pempengaruh dan wakil industri dari Jakarta, Bandung, Surabaya, Lombok, Padang dan Medan.
Delegasi ini telah disambut oleh Encik Kamarudin bin Mat Arsad, Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam, MPT sebelum memulakan lawatan ke beberapa produk pelancongan Taiping seperti Dapur Penghasilan Arang Kayu Kuala Sepetang, menyelusuri Sungai Sepetang sambil merasai pengalaman melihat aktiviti di perkampungan nelayan, jenis-jenis pokok bakau dan pemerhatian burung bangau, pekaka, helang merah dan hidupan liar serta berakhir dengan lawatan ke Night Safari,Taiping.
Penganjuran program ini merupakan usaha memperkukuh rangkaian kerjasama serta meningkatkan potensi promosi produk pelancongan dan mewujudkan pakej pelancongan negeri Perak di pasaran Indonesia.