28/06/2026
Tahukah Anda? Durian Tidak Semestinya Dijual Sebagai Buah Segar
Apabila tiba musim durian, lebihan hasil sering menyebabkan harga raja buah itu menurun di pasaran.
Situasi ini kadangkala menjejaskan pendapatan pekebun, terutama apabila bekalan yang banyak tidak dapat dijual dalam tempoh yang singkat.
Namun, tahukah anda bahawa durian mempunyai potensi besar untuk diproses menjadi pelbagai produk nilai tambah yang mampu meningkatkan nilai jualannya?
Isi durian yang masih segar dan berkualiti boleh diproses menjadi pulpa atau pes durian sebelum disimpan pada suhu sejuk beku sekitar -18°C.
Dengan kaedah penyimpanan yang betul, produk ini boleh bertahan sehingga setahun atau lebih tanpa menjejaskan kualiti.
Pulpa dan pes durian kemudiannya boleh digunakan untuk menghasilkan pelbagai produk makanan seperti aiskrim, durian crepe, kek, biskut, mochi, serikaya, kuih-muih dan pelbagai produk inovasi lain yang mendapat permintaan dalam pasaran.
Selain itu, durian juga boleh diproses menjadi tempoyak yang merupakan antara produk tradisional pop**ar di Malaysia.
Tempoyak mempunyai permintaan yang konsisten dan boleh disimpan melebihi setahun jika diuruskan dengan baik.
Ini menjadikannya pilihan yang sesuai untuk mengurangkan kerugian akibat lebihan buah semasa musim durian.
Menariknya, pemprosesan pulpa, pes dan tempoyak tidak memerlukan peralatan yang canggih serta boleh dilaksanakan secara kecil-kecilan oleh pekebun atau usahawan tani.
Pendekatan ini bukan sahaja membantu mengurangkan pembaziran hasil pertanian, malah membuka peluang kepada penghasilan produk baharu yang mempunyai nilai pasaran lebih tinggi.
Justeru, ketika harga durian segar mengalami penurunan, pemprosesan kepada produk nilai tambah merupakan langkah bijak untuk memastikan hasil tuaian terus memberikan p**angan yang menguntungkan sepanjang tahun.
Selain mengurangkan kesan lebihan pengeluaran bermusim, pendekatan ini turut menyokong pembangunan industri hiliran durian yang lebih mampan dan berdaya saing.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan