08/09/2026
EPISOD 10 (AKHIR): Lontaran Terakhir Baima, Ziarah Makam Sahabat & Salam Perpisahan Dari Bumi Canton
HARI 10: 4/9/2026 - Guangzhou → KLIA | Dari Hiruk-Pikuk Borong ke Heningnya Makam Sa’ad bin Abi Waqqas
Pagi Jumaat terakhir di bumi China dimulakan dengan mendaftar keluar hotel menuju ke Baima Clothing Wholesale Market (Pasar Borong Pakaian). Di sinilah lubuk 'melontar' terakhir sebelum kami berangkat p**ang ke tanah air! Rambang mata melihat lambakan fesyen dengan pelbagai pilihan kualiti yang menepati harga. Suasana di sini membuktikan mengapa Guangzhou pernah digelar Little Africa, ramai pedagang dari serata benua Afrika dan Asia berpusu-pusu memborong muatan besar untuk diniagakan di negara asal mereka. Namun kami tidak boleh berlama-lama kerana matlamat utama hari ini adalah mengejar waktu solat Jumaat di sebuah tapak dakwah agung.
Bergerak meredah jalanan sempit kota Guangzhou yang padat terasa seolah-olah kami berada di celah lorong Hong Kong. Bas kami terpaksa berhenti di tepi jalan utama kerana laluan ke masjid ditutup oleh pihak berkuasa bagi mengawal aliran ribuan jemaah.@ Melangkah masuk melalui gerbang batu purba berukir tulisan “Xianxian Gumu Dao”, suasana hiruk-pikuk kota serta-merta lenyap, digantikan dengan redup pepohon hijau yang sangat menenteramkan jiwa.
Kami melangkah masuk ke Kompleks Makam dan Masjid Xianxian (Masjid Sa’ad bin Abi Waqqas). Masjid ini sering digelar The Guest Mosque atau Mosque of the Sage kerana ia menjadi pusat tumpuan tetamu dan pedagang Muslim antarabangsa dari serata dunia. Suasana solat Jumaat di sini sungguh menggetarkan dada... ribuan jemaah pelbagai bangsa, warna kulit, dan latar belakang bersujud rapat di bawah bumbung astaka hijau klasik. Tertib solat dan khutbahnya mengekalkan kaedah tradisi Hanafi Gedimu, persis seperti yang kami lalui di Xi'an. Usai solat dan jamak Asar, langkah diatur menuju ke kubah makam Sa’ad bin Abi Waqqas R.A. Berdiri di hadapan pintu gerbang berkubah hijau yang dinaungi papan tanda kaligrafi Cina purba “Dao Tong Xi Yu” (Jalan Kebenaran Datang Dari Wilayah Barat), air mata musafir mengalir perlahan. Kami menghadiahkan bacaan surah Al-Fatihah dan doa ziarah kubur buat tokoh sahabat Rasulullah SAW yang telah meredah samudera seawal kurun ke-7 demi menyalakan obor tauhid di bumi ini.
Sebelum ke lapangan terbang, kami singgah menikmati hidangan makan tengah hari terakhir di Restoran Abdullah. Layanan mesra pemilik dan pekerjanya tidak pernah berubah. Menu kambing panggang berempah yang berjus serta mee tarik panas menjadi hidangan penutup yang cukup menyelerakan, menyempurnakan kembara rasa kami di bumi China.
Petang itu, kami bergerak sejauh kira-kira 35 km ke Lapangan Terbang Antarabangsa Guangzhou Baiyun (CAN) Terminal 1. Terminal ini agak lama; kami perlu menaiki bas shuttle dan memanjat tangga luar untuk menaiki pesawat. Urusan daftar masuk penerbangan China Southern Airlines CZ5035 berjalan lancar kerana tempat duduk dan hidangan halal telah ditempah awal dari Malaysia. Disiplin sekuriti di sini sama ketatnya seperti di Lanzhou, had tepat satu beg (23 kg) bagi setiap penumpang, tiada tolak ansur untuk bateri tanpa logo piawaian CCC, dan imbasan bagasi dilakukan berkali-kali. Tepat jam 8.05 malam, sayap pesawat membelah dada langit membawa kami p**ang ke Kuala Lumpur dengan hati yang sarat dengan sejuta ibrah.
FAKTA SANTAI: BAIMA & MASJID XIANXIAN GUANGZHOU
→ Pasar Borong Pakaian Baima (白马服装市场): Kompleks borong pakaian terbesar dan terawal bertaraf antarabangsa di Guangzhou sejak dibuka pada tahun 1993, menjadi nadi eksport tekstil ke serata Asia, Afrika, dan Timur Tengah.
→ Masjid & Makam Xianxian (先贤古墓 / 广州先贤清真寺): Kompleks makam taman seluas ribuan meter persegi yang diasaskan sejak zaman Dinasti Tang. 'Xianxian' bermaksud Tokoh/Sahabat Mulia Terdahulu, merujuk kepada susuk Sa’ad bin Abi Waqqas R.A. (atau utusan awal sahabat Nabi) yang menyebarkan Islam melalui jalan laut ke pesisir Guangzhou.
→ Masjid Para Tetamu (Guest Mosque): Gelaran ini kekal relevan sehingga kini kerana lokasinya yang sentiasa menjadi pusat perkump**an jemaah antarabangsa dari lebih 50 buah negara setiap kali solat Jumaat didirikan.
→ Lapangan Terbang Guangzhou Baiyun (CAN): Terletak kira-kira 35 km ke utara pusat bandar Guangzhou, merupakan antara hab penerbangan tersibuk di dunia dengan nama 'Baiyun' yang merujuk kepada Banjaran Gunung Awan Putih di wilayah tersebut.
NOTA : KHILAF SEJARAH MAKAM SA'AD BIN ABI WAQQAS
Pandangan Jumhur Sejarawan & Hadis: Kebanyakan ahli sejarah Islam (seperti Ibn Sa'ad dan Ibn Hajar) mencatatkan bahawa sahabat mulia, Sa’ad bin Abi Waqqas R.A., wafat di Al-'Aqiq dan dimakamkan di Perkuburan Baqi', Madinah Munawwarah pada sekitar tahun 55 Hijrah.
Tradisi Lisan & Sejarah Tempatan China: Sejarah masyarakat Muslim di Guangzhou mempercayai bahawa ini adalah makam Sa'ad bin Abi Waqqas R.A. yang diutuskan oleh Khalifah Uthman bin Affan R.A. berdakwah ke Dinasti Tang seawal 651 Masihi.
Titik Temu Sejarawan Moden: Ramai penyelidik berpendapat kompleks indah di Guangzhou ini berkemungkinan besar merupakan makam utusan atau pendakwah awal generasi sahabat/tabi'in yang diketuai oleh wakil kabilah Banu Zuhrah (keluarga Sa'ad), atau sebuah makam simbolik (cenotaph) bagi memperingati jasa ekspedisi dakwah terawal tersebut.
IBRAH MUSAFIR: Benih Ikhlas di Tanah Asing
Berdiri di hadapan makam Sa’ad bin Abi Waqqas R.A. dan sujud bersama ribuan saudara seakidah dari serata dunia menghidupkan satu hakikat agung: Islam tidak pernah mengenal warna kulit mahupun sempadan sempadan bangsa. Para sahabat terdahulu belayar merentasi lautan berbulan-bulan lamanya bukan demi mengejar laba dunia, tetapi demi memastikan kalimah tauhid sampai ke sanubari manusia.
Benih iman yang disemai dengan akhlak dan pengorbanan lebih 1,400 tahun lampau di kota Canton purba ini terus hidup dan mekar sehingga ke hari ini. Musafir ini mendidik kita satu pesan abadi: nilai diri kita di sisi Allah bukan diukur pada banyaknya harta yang kita bawa p**ang, tetapi pada seberapa banyak benih kebaikan dan jejak takwa yang sempat kita tinggalkan untuk akhirat kelak.
Firman Allah SWT:
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat); dan bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
(Surah Al-Hasyr: 18)
Alhamdulillah, berakhirlah sudah catatan Jelajah Laluan Sutera 2026: Xi'an - Gansu - Guangzhou. Kembara 10 hari yang sarat dengan titisan peluh musim panas di tembok purba, damainya hamparan barli di kaki tebing Baishiya, kedinginan angin Kangle Grassland, hingga heningnya sujud di makam sahabat Rasulullah SAW.
Pernahkah sahabat terbayang perasaan berdiri di hadapan makam pahlawan Islam terawal di tengah kesibukan kota moden Guangzhou ini? Daripada Episod 1 hingga 10, destinasi mana yang paling menjentik pintu hati sahabat untuk melangkah ke bumi bersejarah ini? Jom kongsikan rasa anda di ruangan komen!