28/07/2026
PENYERTAAN PERBADANAN TAMAN NEGERI PERAK KE THE 7TH GEOTOURISM FESTIVAL & INTERNATIONAL CONFERENCE (GEOFEST) 2026
Perbadanan Taman Negeri Perak (PTNPk) telah menyertai The 7th Geotourism Festival & International Conference (GeoFest) 2026 anjuran Lenggong Geopark yang berlangsung pada 21 hingga 24 Julai 2026 di Ipoh, Perak.
Program ini menghimpunkan pengurusan geopark, penyelidik, ahli akademik, agensi kerajaan dan pemain industri pelancongan dari dalam dan luar negara bagi berkongsi ilmu, pengalaman serta amalan terbaik dalam pemuliharaan warisan geologi, biodiversiti, warisan budaya dan pembangunan geopelancongan mampan.
Majlis Makan Malam GeoFest 2026 telah disempurnakan oleh YAB Dato' Seri Saarani Mohamad, Menteri Besar Perak, sekali gus mencerminkan komitmen Kerajaan Negeri Perak dalam menyokong pembangunan geopelancongan serta pemuliharaan warisan geologi, alam semula jadi dan budaya sebagai pemacu pelancongan mampan.
Penyertaan ini menjadi platform yang amat bernilai untuk memperkukuh jaringan kerjasama, menimba pengetahuan serta memperoleh idea baharu yang dapat dimanfaatkan dalam memperkasakan Geopark Lembah Kinta demi kelestarian warisan alam untuk generasi akan datang.
Terima kasih kepada pihak penganjur serta semua pihak yang telah menjayakan GeoFest 2026.
Kredit gambar kepada jurugambar rasmi festival dan peserta.